Mungkin ramai dikalangan kita berminat untuk menceburi bidang perniagaan, malangnya kekurangan ilmu pengetahuan menjadi penyebab kita seringkali buntu dan keliru untuk memulakannya. Jika anda memgalami situasi tersebut tips dibawah mungkin dapat membantu membuka langkah pertama dalam membuat persediaan asas dan cara untuk memulakan perniagaan.
1) MENGENALPASTI KEHENDAK PASARAN
1) MENGENALPASTI KEHENDAK PASARAN
Pasaran yang dimaksudkan adalah keperluan pengguna atau pembeli sama ada di kawasan sekitar anda mahupun di tempat yang lain, cuba kenalpasti terlebih dahulu apakah produk yang mereka perlukan dalam kehidupan harian, apakah yang dapat membantu dan menyelesaikan masalah, apakah produk yang sering dicari oleh pasaran contohnya seperti makanan, pakaian, alat elektronik, bahan bacaan, perabot, perkhidmatan dan sebagainya.
2) MODAL DAN KEWANGAN
Modal dan kewangan adalah penting untuk mewujudkan sesuatu produk, tidak kira sama ada produk buatan sendiri mahupun pihak lain. TIDAK ADA satupun perniagaan yang tidak memerlukan modal.
Maksud modal disini bukan sekadar untuk penghasilan produk tetapi juga kos-kos yang diperlukan seperti sewa tapak perniagaan, pemasaran, pembungkusan, penghantaran, peralatan tambahan dan keperluan-keperluan lain yang diperlukan bagi menjual produk anda kelak.
Semak tahap kewangan anda berapa jumlah modal yang diperlukan untuk kos-kos yang diperlukan bagi penghasilan produk. Asingkan keduanya dan tentukan perbelanjaan harian dan kegunaan lain cukup untuk jangka masa yang panjang bagi menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.
3) CARI DAN HASILKAN PRODUK
Produk merupakan perkara paling utama bagi semua jenis perniagaan, idea bagi produk ini akan muncul setelah anda mengenalpasti kehendak pasaran, jumlah peruntukan modal dan tahap kewangan anda. Produk adalah istilah umum bagi semua kategori perniagaan, produk ini boleh wujud dalam bentuk nyata dan tidak nyata. Produk ini dapat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu;
- Produk Fizikal : Produk fizikal merupakan sesuatu produk nyata yang dapat disentuh, dilihat, dirasai dan digunakan seperti contoh makanan dan minuman, pakaian, buku, gadget, kenderaan, perfume, dan sebagainya.
- Produk Digital : Merupakan produk tidak nyata, ia tidak boleh disentuh mahupun rasa tetapi ia dapat dilihat, dengar dan boleh digunakan contohnya aplikasi Android dan IOS, software, e-book, video game, dan lain-lain.
- Produk Perkhidmatan : Produk ini dapat wujud dalam bentuk nyata dan tidak nyata, ia juga boleh dijadikan sebagai produk utama anda sekiranya anda memiliki kemahiran tertentu, produk ini menawarkan perkhidmatan seperti membaiki kenderaan, pemandu teksi, menjahit pakaian, pelukis pelan, katering, web designer, pengiklanan, dan lain-lain.
Jadi produk boleh terhasil dalam pelbagai bentuk dan cara, anda perlu fokus dan meneliti produk yang ingin dijual, cari kelebihan dan kekurangan, cuba dalami pengetahuan anda tentang produk tersebut. Cari produk yang dapat menyelesaikan masalah, menepati kehendak pasaran dan paling penting cari produk yang kurang berisiko serta kos rendah.
4) PROMOSI DAN PEMASARAN
Bahagian ini memainkan peranan paling penting bagi menentukan untung rugi sesebuah perniagaan, tetapi ia juga boleh menjadi tidak perlu bergantung kepada lokasi, jenis produk dan pasaran tertumpu. Bagaimanapun anda harus rancang strategi bagaimana untuk produk dan perniagaan anda kelihatan menarik dan mampu memberi hasil. Contoh kebersihan di kedai makan juga boleh jadi salah satu teknik pemasaran, anda mahu pergi kedai yang kotor?
Tetapi perkara paling utama untuk promosi dan pemasaran adalah mudah dihubungi dan dapat memberi maklumbalas dengan cepat. Bahasa dan layanan perlu mesra pengguna tanpa menggunakan ayat kasar. Dengan cara ini juga pembeli dapat membuat tenpahan atau pembelian dengan mudah dan sudah pasti mereka akan hubungi anda berulang kali.
5) CATATAN DAN MASA
Anda perlu mencatat segala kos yang telah digunakan sebelum dan selepas memulakan perniagaan. Catatkan jumlah penggunaan keluar masuk wang setiap hari untuk merekod perjalanan perniagaan anda. Jadi anda boleh rujuk berapa keuntungan dan kerugian sepanjang tempoh perniagaan. Setiap perniagaan ada untung dan rugi, dengan catatan ini anda boleh kenalpasti bilakah waktu dan masa keuntungan diperoleh dan waspada sekiranya tempoh perit yang berpanjangan.
0 Ulasan